Pengimarahan ikut kapasiti di Kelantan

KOTA BHARU 8 April –  Semua masjid, surau dan musolla di Kelantan dibenarkan mengadakan solat tarawih mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan fizikal satu meter, kata Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Yang Dipertua MAIK Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, solat boleh dilaksanakan sama ada lapan atau 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih satu jam tidak termasuk solat Isyak.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan seperti tadarus al-Quran, iktikaf, dan qiamullail dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V

“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat tarawih, manakala tazkirah subuh, asar dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan.

Bagi aktiviti tadarus al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal satu meter dalam tempoh tidak melebihi sejam dan qiamullail juga dibenarkan sepanjang Ramadan selama satu jam sebelum waktu imsak.

Bagaimanapun jamuan berbuka puasa dan bersahur serta moreh tidak dibenarkan, tetapi masjid, surau dan musolla digalakkan untuk menyediakan menu berbuka dan bersahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah.

Iktikaf di masjid juga dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter.

Bermula Ramadan ini juga, kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas dibenarkan mengikuti program-program yang diadakan di masjid, surau dan musolla.

Related posts

Leave a Comment