ARAU 22 Nov. – Buat kali pertama sejak 65 tahun, wakil rakyat Pas dilantik sebagai Menteri Besar Perlis selepas Perikatan Nasional (PN) menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu.
Pesuruhjaya Pas negeri itu Mohd Shukri Ramli yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang sejak 2013 itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang ke-8 kira-kira pukul 4.15 petang, selepas diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Mohd Shukri, 61, menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan PN yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka selepas gabungan itu berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mohd Shukri atau dikenali sebagai Cikgu Shukri dalam kalangan masyarakat tempatan, adalah pesara guru yang berpengalaman luas dalam profesion pendidikan selama 37 tahun serta pernah berkhidmat sebagai guru di pelbagai sekolah di Sarawak dan Perlis.
Beliau selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menyambung pendidikan di Institut Perguruan Rajang yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Bintangor, Sarawak.
Mohd Sukri kemudian memulakan karier sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Beraya, Miri, SK Pulo, Kuching dan lima lagi sekolah rendah di Perlis bermula 1985 sehingga bersara pada 2013 untuk melibatkan diri dalam politik.
Mohd Shukri mula menjadi ADUN Sanglang selepas menang di kerusi DUN itu pada PRU13 pada 2013 sebelum terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga kini.
Kariernya dalam politik bermula apabila dilantik menjadi Ketua Penerangan Pas Perlis dan Setiausaha Perhubungan Pas Perlis sebelum diangkat menjadi Pesuruhjaya Pas Perlis dan Pengerusi PN Negeri Perlis malah beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perlis sebelum ini.
Dalam pembabitan aktiviti dan kerja kemasyarakatan pula, anak kelahiran Sanglang itu pernah menjadi Setiausaha Masjid Dato Jaafar Hassan, Simpang Empat, Ketua Unit Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Sungai Padang, Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Lukmanul Hakim, Sungai Padang selain menjadi penaung kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Arau dan Sanglang.
Pada PRU15 lalu, Mohd Shukri mempertahankan kerusi DUN Sanglang dalam saingan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Sharipudin Ahmad, calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad dan Zainudin Yom dari Parti Warisan Sabah dengan majoriti 3,335 undi.
Turut berangkat pada majlis itu angkat sumpah itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Hasnol Zam Zam Ahmad, Speaker DUN Perlis, Hamdan Bahari, barisan ADUN Perlis yang baharu termasuk seorang dari Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Polis Perlis, Surina Saad.
