BATU PAHAT 9 Nov. – Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa Mohd Rashid Hasnon pernah menangis dan merayu kepadanya untuk jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika dalam Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH itu turut menyifatkan, penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat mengkhianati parti dan pengundinya.
“Sokong Rashid dan dia khianat lompat katak, tak guna, apa punya manusia. Dia nak jawatan merayu, menangis minta bagi jawatan Timbalan Speaker, tak puas hati, pakat khianat,” katanya berceramah di Tapak Pasar Malam Bukit Pasir, malam tadi.
Pada PRU14, Mohd Rashid bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi Batu Pahat dengan majoriti 17,894 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Haliza Abdullah dan calon Pas, Dr Mahfodz Mohamed.
Bagaimanapun, Mohd Rashid keluar parti melalui ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Bersatu dan pada 2020, dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Anwar juga mendakwa, Mohd Rashid sepatutnya mempunyai maruah dan tidak khianat kepada pengundi di Batu Pahat yang memberikan mandat kepadanya atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Dia perlu memiliki integriti dan harus mengambil contoh seperti pemikir Melayu ulung, Pendeta Zaaba yang miskin tetapi, memiliki integriti tinggi.
“Apa kata dia (Zaaba), kita biar miskin harta tapi, bukan miskin budi pekerti, bukan miskin maruah. Ini harta banyak tapi miskin perangai, miskin akhlak, jadi pengkhianat kepada rakyat yang undi anda. Jadi apa tugas kita 19 haribulan? Tendang dia (Mohd Rashid) ke laut,” katanya.
Tegas Anwar, sekiranya beliau menjadi perdana menteri ketika krisis peralihan kerajaan sebelum ini, Mohd Rashid tidak mungkin diberikan peluang menjawat sebarang jawatan dalam Kabinet susulan sikapnya itu.
