Wetrom keluar Bersatu sertai KDM

KOTA KINABALU 22 Okt. – Bukan pilih Warisan sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Wetrom Bahanda menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) selepas meninggalkan Bersatu baru-baru ini.

Serentak dengan itu, dalam sidang media khas malam tadi ini, Wetrom menyatakan kesediaannya bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu atas tiket KDM.

“Apabila kita berbincang di akar umbi dan juga rakyat di Kota Marudu, saya mendengar hasrat mereka. Perjuangan KDM lebih serasi dengan perjuangan kita.

Sebab itu akhirnya saya memilih untuk bersama dan berjuang bersama KDM dan juga secara keseluruhannya untuk rakyat di negeri Sabah,” katanya selepas Majlis Makan Malam Solidariti Bersama Pemimpin KDM di Dewan Hakka, di sini, malam ini.

Wetrom turut memberitahu beliau telah memberi makluman rasmi meletakkan jawatan sebagai ahli Bersatu dan juga jawatan sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Pada pilihan raya negeri 2020, Wetrom menang dengan majoriti 3,363 mengalahkan lima calon lain termasuk Warisan.

Sementara itu, Presiden KDM,  Peter Anthony yang turut hadir pada sidang media itu memaklumkan penyertaan Wetrom menjadikan Wetrom sebagai Timbalan Presiden untuk mengisi kuota Muslim.

Anthony ketika ditanya persediaannya menghadapi Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15), berkata pihaknya akan menghadapi PRU-15 secara solo berikutan KDM belum menerima maklum balas permohonan menjadi rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun telah mengisytiharkan KDM mesra gabungan terbabit.

Related posts

Leave a Comment