Warisan jangka PRK Bugaya serentak PRU

KOTA KINABALU 9 Okt. – Parti Warisan menjangkakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Semporna diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangannya,  Awang Ahmad Sah Awang Sahari, berkata ia berikutan pembatalan proklamasi darurat Covid-19 bagi kawasan itu yang dikuatkuasakan sejak akhir 2020 oleh Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.

Katanya, Warisan akan mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 oleh penyandangnya, Allahyarham Manis Muka Mohd Dara sebelum meninggal dunia pada 17 November 2020.

“Warisan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi PRK Bugaya dan yakin akan menang. Soal calon kita serahkan kepada kepemimpinan parti untuk memilih,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Allahyarham Manis Muka memenangi kerusi DUN Bugaya atas tiket Warisan dengan majoriti 6,005 undi menewaskan enam pencabar lain dalam pertandingan tujuh penjuru pada PRN-16 Sabah pada 26 September 2020.

Selain DUN Bugaya, Yang di-Pertuan Agong turut membatalkan proklamasi darurat Covid-19 bagi kawasan Parlimen Batu Sapi yang juga dikuatkuasakan bagi menangguhkan PRK dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sejak akhir 2020.

Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian penyandangnya, mendiang Liew Vui Keong pada 1 Oktober 2020.

Vui Keong memenangi kerusi berkenaan atas tiket Warisan dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU14 pada 2018.

Pada awal tahun lalu, UMNO Sabah turut meluahkan hasrat untuk meletakkan calon atas tiket Barisan Nasional (BN) jika PRK DUN Bugaya diadakan.

Ketika PRN-16 Sabah pada 26 September 2020, BN tidak meletakkan calon di DUN Bugaya kerana kerusi berkenaan diserahkan kepada Bersatu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama Gabungan Rakyat Sabah – BN (GRS-BN) pada waktu itu.

DUN Bugaya dalam kawasan Parlimen Semporna pernah menjadi kubu kuat UMNO BN sebelum beralih kepada Warisan selepas bekas Naib Presiden UMNO,  Mohd Shafie Apdal menubuhkan parti itu setelah keluar UMNO pada Jun 2016.

Related posts

Leave a Comment