Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

PUTRAJAYA 29 Jun – Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberitahu, pasukan khas yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

Pasukan khas itu juga dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi.

Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia.

Related posts

Leave a Comment