PALESTIN dan kumpulan Hamas mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Semenanjung Gaza.
Kedua-duanya menuduh Washington menjadi penyumbang utama kepada penderitaan berterusan di wilayah yang dicengkam peperangan itu.
Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata kepada UNSC bahawa draf resolusi itu mempunyai ‘matlamat mudah’ – menghentikan bencana kemanusiaan di Gaza serta membolehkan pembebasan tawanan dan tahanan, selain pengunduran tentera Israel.
Beliau berkata, draf ini sudah terlalu lama tertangguh dan seharusnya membuka jalan untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai, menghentikan kebuluran terancang dan memastikan bantuan kecemasan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Mansour berkata, hampir dua juta penduduk Palestin termasuk sejuta kanak-kanak, kini berada ‘di ambang kebuluran’ dan terperangkap dalam kawasan terhad ‘yang jelas untuk memudahkan pengusiran serta pengilhakan mereka.’
Beliau menggesa Israel menamatkan apa yang disifatkan sebagai ‘kepungan zalim dan haram’ serta membuka semua lintasan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa halangan, selain mendesak negara anggota PBB mengambil langkah bebas pada peringkat negara bagi menghentikan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’ di Gaza.
“Ini perlu dihentikan. Ia mesti dihentikan,” katanya tegas sambil menekankan agensi PBB dan kemanusiaan mesti dibenarkan beroperasi sepenuhnya di Gaza.
Beliau kemudiannya turut bertanya bolehkah Majlis berbuat sesuatu mengenai keputusan mahkamah antarabangsa dan resolusi PBB yang mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa serta melakukan jenayah perang.
Mansour turut mengesahkan isu itu akan dibawa ke Perhimpunan Agung PBB dalam beberapa hari akan datang.
Dalam kenyataan berasingan, kumpulan Hamas mendakwa veto AS itu adalah sokongan langsung terhadap apa yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai oleh Israel’ terhadap rakyat Palestin.
Hamas menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pendirian angkuh yang mencerminkan penghinaan AS terhadap undang-undang antarabangsa dan penolakan mutlak terhadap sebarang usaha antarabangsa untuk menghentikan pertumpahan darah rakyat Palestin.’
Hamas mendakwa bahawa veto itu memberi ‘lampu hijau’ kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas di Gaza, selain menuduh Washington ‘bersekongkol sepenuhnya’ dalam perang berkenaan.
Draf resolusi berkenaan yang dibentangkan oleh Slovenia bagi pihak 10 anggota Majlis Keselamatan yang dipilih, menerima 14 undi menyokong dan AS satu-satunya negara yang menggunakan kuasa veto, kali kelima dilakukan sejak Oktober 2023 terhadap resolusi gencatan senjata di Gaza.
Nnn
