Harga siling ayam RM9.40 sekilogram

PUTRAJAYA 29 Jun – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Ronald Kiandee, berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).

Ronald berkata penetapan harga ayam standard dan telur ayam itu membabitkan Semenanjung.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 sekilogram sebelum harga itu diputuskan untuk diapungkan mulai 1 Julai ini. Bagaimanapun, kerajaan membatalkan rancangan membiarkan harga ayam diapung dan akan mengumumkan harga siling baharu.

Keputusan ini juga telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima hingga RM2600 tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

Dengan pelaksanaan subsidi ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari 2022.

Related posts

Leave a Comment