PUTRAJAYA 26 Mei – Selepas tiga hari di bawah angka 2,000, Malaysia semalam melaporkan peningkatan kes harian Covid-19 dengan merekodkan 2,430 berbanding 1,918 yang direkodkan kelmarin, 1,544 (23 Mei) dan 1,817 (22Mei).
Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,497,212 kes dengan kes aktif sebanyak 25,172.
Menurut data laman COVIDNOW Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 12 kes import dilaporkan manakala 24,053 sedang menjalani kuarantin di rumah dan enam kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif 35,653 meninggal dunia.
Sementara itu Selangor merekodkan kes harian tertinggi iaitu 1,272 menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu meningkat kepada 1,361,867 kes.
Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 366, Pulau Pinang 119, Perak 117, Negeri Sembilan 114, Melaka 99, Johor 72, Kedah 69, Sabah 66, Sarawak 49, Wilayah Persekutuan Putrajaya 38, Pahang 20 dan Terengganu 14.
Negeri yang mencatatkan di bawah 10 kes adalah Kelantan (8), Wilayah Persekutuan Labuan (6), dan Perlis (1).
