Langkah, lompat PKR, Bersatu, PBM

AKHIRNYA Zuraida Kamaruddin mengesahkan cakap-cakap mengenai penglibatannya dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM). Bukan berita mengejutkan kerana desas-desus mengenai penglibatannya bukan lagi rahsia.

Hanya menunggu masa sama ada beliau umum secara terbuka atau disingkirkan daripada barisan kepemimpinan utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hari ini beliau memuktamadkan pendiriannya. Pengumuman itu menamatkan pelbagai spekulasi berkaitan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu yang dikaitkan dengan PBM sejak sebelum parti dilancarkan 21 Disember 2021.

Ahli Parlimen Ampang itu hari ini mencatat sejarah bersama sekumpulan wakil rakyat lain sebagai antara anggota Parlimen yang bertukar parti sejak memenangi pilihan raya umum (PRU) lalu atas tiket parti asal mereka.

Mungkinkah Zuraida antara wakil rakyat terakhir berbuat demikian – melompat atau melangkah – sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti  dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat?

Menyelak kembali perjalanan politik Zuraida ini, selepas meninggalkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok Bebas pada Februari 2020, beliau menyertai Bersatu pada Ogos 2020.

Zuraidah bersama 10 anggota Parlimen PKR mengumumkan keluar dari parti itu sedangkan pada hari yang sama PKR mengumumkan keputusan memecat Naib Presiden PKR itu atas alasan pengkhianatan terbuka.

Turut dipecat pada hari yang sama adalah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Mereka kemudiannya pada 22 Ogos 2020, atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara,  menyertai Bersatu. Sebahagian besar NGO ini dianggotai serpihan PKR dan diterajui kumpulan yang menggelar diri sebagai G10.

Begitulah perjalanan politik Zuraida, yang sudah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir ini sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Adakah keputusannya meninggalkan Bersatu tepat atau sememangnya beliau sudah disenarai hitamkan oleh Bersatu selepas desas-desus mengenai keterlibatannya dalam PBM yang dianggotai kebanyakan bekas anggota PKR.

Mungkin bagi mengelakkan dirinya ‘dipecat’ sekali lagi, beliau lebih awal ‘angkat kaki’  meninggalkan Bersatu dan membina kekuatan baharu dengan parti yang dikatakannya semakin kuat.

Maksud kuat juga melibatkan ‘kekuatan’ beberapa wakil rakyat yang juga ‘melompat dan melangkah’ menyertai PBM.

Amat menarik untuk melihat sejauh mana peluang beliau untuk menempatkan diri sebagai calon PRU akan datang khususnya di Ampang. Adakah PBM mempunyai jentera PRU yang kuat untuk membantu beliau mempertahankan Ampang?

Zuraida mungkin tinggal nama di Ampang selepas beliau ‘mencabut akar’ kekuatannya bersama PKR dan PH dan hari ini bertekad mencabut ‘akar kekuatan’ bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Bukan mudah bagi Zuraida mahu kekal di Ampang. Di atas kertas sudah pasti pencabarnya dari PKR dan BN sementara Bersatu juga menganggap itu sebagai kerusinya. Tiga penjuru itu pasti dan empat penjuru juga hampir pasti.

Kedudukan Zuraida dalam Kabinet juga menarik perhatian kerana pelantikannya adalah bagi kuota Bersatu. Maka Bersatu akan menuntut kerusi itu.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau memberitahu akan berjumpa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Zuraida kini berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.

Beliau dijangka ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dan dijangka pulang ke tanah air pada 2 Jun ini.

Sebelum ini, di bawah pentadbiran PH diterajui Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin, Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menjelaskan peletakan jawatan itu, katanya beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri walaupun kini menyertai PBM. Ini kerana sokongan kepada kerajaan sekarang adalah selari dengan pendirian PBM.

“Saya sudah membuat pertimbangan yang mendalam untuk menyertai PBM dan mempercayai dengan perjuangan parti itu serta tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” katanya.

Related posts

Leave a Comment