Kelantan bimbang Beta, Delta

TANAH MERAH 25 Julai – Kelantan turut bimbang dengan kehadiran varian baharu dalam masyarakat selepas merekodkan 24 kes varian Beta dan satu kes varian Delta setakat ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata satu kes varian Delta dikesan di Pasir Puteh dan terdapat 74 sampel lagi yang diambil serta dihantar ke makmal untuk diuji.

Keputusan sampel berkenaan dijangka diketahui dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

“Nasihat saya kepada semua masyarakat supaya berhati-hati dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana varian baharu ini seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah), kadar kebolehjangkitan lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Outreach Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga di sini, hari ini.

Dalam program dua hari bermula hari ini, seramai 400 individu akan menerima vaksin.

Sementara itu Dr. Zaini berkata, peningkatan jangkitan Covid-19 di Kelantan sejak beberapa hari lalu disebabkan kluster Aidiladha dan juga kluster pasar-pasar lama.

Katanya kewujudan kluster-kluster itu menyebabkan peningkatan kes yang agak mendadak semalam.

“Hampir setiap hari kita rasa bimbang dari segi peningkatan kes, tetapi kita sentiasa memantau. Jadi mungkin kelmarin ada peningkatan yang agak mendadak yang disebabkan aktiviti hari raya dan sebagainya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment