PUTRAJAYA 19 Julai – Daripada 10,972 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 26 kes (0.2 peratus) adalah daripada kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah,
Sebanyak 42 kes (0.4 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 103 kes (0.9 peratus) kategori 3 (radang paru-paru) dan 4,464 kes (40.7 peratus) kategori 2 (bergejala ringan).
Bagi kategori 1 pula, sebanyak 6,337 kes atau 57.8 peratus tidak bergejala.
“Secara keseluruhannya, hanya 1.5 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4, dan 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah keseluruhan kes ketika ini adalah 927,533 kes dengan jumlah kumulatif kematian pula 7,148.
Hari ini, 129 kematian dilaporkan melibatkan 61 kes di Selangor, 14 di Kedah, 11 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,masing-masing 10 kes di Negeri Sembilan dan Melaka, sembilan kes di Johor, masing-masing tiga di Sarawak dan Terengganu, masing-masing dua di Sabah, Pulau Pinang, dan Perak, serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Mengenai kes sembuh, sebanyak 6,439 pesakit dilaporkan pulih menjadikan jumlah keseluruhan 791,388 kes sementara kes aktif 128,997.
Sebanyak 915 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 435 memerlukan bantuan pernafasan.
