Terus cekal, sabar dan bersyukur

KUALA LUMPUR 19 Julai – Umat Islam di negara ini diiharap akan terus cekal, bersabar dan bersyukur kerana masih diberi kesihatan serta kekuatan menyambut Aidiladha pada tahun ini dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta.

Demikian harapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka berdua menzahirkan harapan itu semasa mengucapkan selamat menyambut  Hari Raya Aidiladha melalui Facebook Istana Negara kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di luar negara.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita kerana buat kedua kalinya umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan hari yang bermakna ini seperti kelazimannya akibat pandemik Covid-19.

Di samping itu, Seri Paduka Baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan di atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat lelah merawat pesakit-pesakit Covid-19 dan dalam usaha-usaha memerangi pandemik ini sejak tahun lalu.

Justeru, Seri Paduka berdua menyeru seluruh umat Islam di negara ini tidak alpa dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi semua perintah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam meraikan perayaan itu.

Umat Islam di negara ini juga diseru untuk bersama Baginda berdua mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Related posts

Leave a Comment