Terus melonjak kepada 13,000 kes

PUTRAJAYA 15 Julai – Selepas dua hari berturut-turut melepasi angka 11,000 kes, jumlah jangkitan baharu Covid-19 hari ini terus melangkah ke angka 13 dengan merekodkan 13,215 kes, angka tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 880,782 dengan kes aktif sebanyak 108,369.

Daripada jumlah kes harian itu, sebanyak 13 kes import melibatkan tujuh warganegara dan enam bukan warganegara manakala 13,202 kes tempatan melibatkan 10,845 warganegara (82.1%) dan 2,357 bukan warganegara (17.9%)

Kes sembuh pula meningkat kepada 765,800 termasuk kes sembuh yang direkodkan hari ini sebanyak 6,095 kes .

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 110 kes kematian baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu dengan jumlah kes kematian ketika ini adalah 6,613 kes.

Sebanyak 45 kematian direkodkan di Selangor, 23 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 11 di Negeri Sembilan, tujuh  di Johor, lima di Pahang, masing-masing empat kes di Kedah dan Sarawak, masing-masing tiga di Melaka dan Kelantan, dua di Sabah, serta masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak, dan Wilayah Persekutuan

Sementara itu kes yang dirawat di ICU adalah 885 dengan 432 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kluster yang dikesan setakat ini adalah 3,168 termasuk 26 kluster dan  yang telah tamat pemantauan 28 hari adalah 2,265 manakala jumlah kluster aktif  sebanyak 8,730.

Related posts

Leave a Comment