90 peratus kes kategori 1 dan 2

PUTRAJAYA 15 Julai – Lebih 90 peratus atau 12,684 kes daripada 13,215 kes yang dikesan hari ini adalah pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,047 kes adalah pesakit kategori satu iaitu tidak mempunyai gejala.

“Sejumlah 4,637 kes dikesan hari ini adalah kategori dua atau pesakit Covid-19 yang bergejala ringan.

“Bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 531 kes dilaporkan. Pesakit kategori ini mempunyai jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu, kerajaan menyasarkan bilangan jangkitan harian akan turun ke bawah angka 1,000 kes menjelang Oktober ini seandainya program vaksinasi berjalan lancar seperti yang dirancang.

Katanya, angka jangkitan harian diunjurkan sudahpun mencecah 13,000 kes pada 14 Jun lalu jika langkah ketat termasuk total lockdown dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan (PKPD) tidak dilaksanakan.

Ujarnya, walaupun PKP bukan penyelesaian sepenuhnya namun ia memberi ruang dan masa untuk kementeriannya mengurus pertambahan katil dan ubat-ubatan di hospital.

Related posts

Leave a Comment