Pengembara cemaskan penduduk NZ

HANYA kerana seorang pengembara Australia yang positif Covid-19, wilayah Wellington, New Zealad diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di bawah Tahap 2 mulai 6 petang semalam (23 Jun) sehingga 11.59 malam 27 Jun.

Pengembara dari Sydney itu melawat negara berkenaan mulai  19 hingga 21 Jun dan dikesan positif sebelum berlepas pulang.

Berikutan kes itu, selepas hampir empat bulan bebas daripada jangkitan Covid-19, penduduk New Zealand kini bimbang selepas pihak berkuasa kesihatan mengambil pendekatan berjaga-jaga dan sedia dengan strategi mengekang penularan wabak.

New Zealand merupakan antara negara yang berjaya dalam membendung penularan Covid-19 dengan hanya merekodkan 26 kematian akibat wabak itu.

Di samping itu, New Zealand turut menghentikan perjalanan bebas kuarantin dari New South Wales sekurang-kurangnya selama tiga hari susulan kes varian delta tersebut.

Setakat ini masih tiada sebarang jangkitan melibatkan pengunjung dari Sydney dilaporkan, namun orang ramai diarah supaya kekal berada di rumah dan membuat ujian saringan jika perlu.

Di bawah tahap 2, penduduk masih boleh keluar bekerja dan ke sekolah dengan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Pihak berkuasa kesihatan juga menyenaraikan ‘sejarah’ perjalanan pengembara itu bermula dari penerbangan, ketibaan di pemeriksaan kastam lapangan terbang pada 11.35 malam 18 Jun sehinggalah senarai lokasi yang dikunjungi sebelum kepulangannya.

Antara lokasi yang dikunjungi pengembara itu adalah muzium Te Papa, beberapa restoran, kedai dan kawasan pelancongan.

 

Related posts

Leave a Comment