IBARAT tukar bilik tetapi masih di rumah yang sama. Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat apabila seorang wakil rakyat dari Parti Amanah Negara (Amanah) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Aadun) Senggarang, Khairuddin A. Rahim dilaporkan telah memohon untuk menyertai PKR sejak September tahun lalu.
Khairuddin mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan pada Sabtu dan menjelaskan beliau kini menyertai PKR Cabang Batu Pahat.
Permohonan beliau telah diterima dengan nombor keanggotaan J1100004520.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR dan semua pimpinan serta ahli Keadilan khusus kepada pimpinan Negeri Johor dan pimpinan Cabang Batu Pahat yang telah menerima keanggotaan saya, “ katanya.
Sebelum ini dua wakil rakyat Amanah di Selangor iaitu ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman juga telah mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PKR.
Amanah dan PKR merupakan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) bersama DAP.
