PKPD di Penjara Bentong

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan bermula 25 Januari sehingga 8 Februari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di buat selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebanyak 615 kes positif Covid-19 direkodkan yang melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa singkat dalam kalangan tahanan di penjara ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Ismail Sabri juga menjelaskan, pada Sabtu seramai 550 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP PKP dan daripada jumlah itu, 499 individu dikompaun, 42 direman manakala sembilan lagi dijamin.

Selain itu, Operasi Benteng (Op Benteng) telah menangkap 54 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas dua buah bot/kapal serta lima buah kenderaan darat.

“Dalam operasi itu juga, turut dikesan 142 bot/kapal berada di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sejak 24 April 2020, seramai 109,743 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 15 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Related posts

Leave a Comment