KUALA LUMPUR 11 Sept. – Setakat 31 Ogos lalu, jumlah keahlian UMNO mencecah 3,251,456 orang dengan melibatkan 21,484 UMNO cawangan dan 191 UMNO bahagian di seluruh negara.
Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mengikut pencahan, jumlah keahlian biasa adalah seramai 1,195,265 orang di mana keahlian Pergerakan Wanita 1,412,052 orang, Pemuda 418,063 dan Puteri 226,076 orang.
Berucap pada pembukaan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2026, beliau memaklumkan lima negeri yang mencatatkan rekod pertambahan ahli baru tertinggi ialah Johor diikuti Pahang, Selangor, Perak dan Sabah.
Katanya, sejak konsep Rumah Bangsa digagaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, Ibu Pejabat UMNO telah menerima sambutan luar biasa yang mahu kembali yang mahu bersama-sama berjuang di dalam Rumah Bangsa.
Sejak diumumkan di Perhimpunan Agong UMNO lapan bulan yang lepas, seramai 45,808 orang yang direkodkan sebagai ahli dan kembali ke Rumah Bangsa.
“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 21,484 UMNO cawangan dan 191 UMNO bahagian di seluruh negara yang bermesyuarat dalam tempoh yang ditetapkan.
Ini adalah bukti degup jantung dan nadi perjuangan UMNO masih hidup, kuat dan terus berdenyut di setiap pelusuk negara,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, selepas lapan dekad berbakti, obor perjuangan yang dinyalakan di Johor tetap menyala, kembali menerangi seluruh negara dan gelombang biru kembali membadai bumi Malaysia.
“Kita melakar kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, bukan sekadar angka atau statistik biasa, tetapi gambaran keyakinan rakyat yang kembali mengalir ke lubuk perjuangan UMNO Barisan Nasional,” katanya.
Beliau menarik perhatian kemunculan semula tunas sokongan pengundi Cina di mana pada 2022, sokongan pengundi Cina di Johor hanyalah 9.5% tetapi ketika PRN 2026, ia melonjak lebih sekali ganda kepada 20%.
Di Negeri Sembilan, trend-nya juga sama, empat tahun lepas, sokongan pengundi Cina kepada BN hanyalah 8.7%, tahun ini, ia meningkat kepada 14% begitu juga pada tahun 2022, undi etnik India di Johor adalah 18.9% tetapi melonjak kepada 54.8% pada PRN tahun ini.
Katanya, dalam kedua-dua PRN tahun ini, BN memperoleh undi India tertinggi berbanding parti-parti lain.
Nnn
