Jangan lupa kenaikan harga makanan

SEPANG 1 Sept. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyambut baik beberapa insentif yang diumumkan kerajaan namun perhatian serius perlu diberi terhadap kenaikan harga makanan dan barangan keperluan asas yang memberi kesan secara langsung kepada perbelanjaan harian setiap keluarga.

Setiausaha Agungnya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, kenaikan harga  telur dan pelbagai barangan keperluan dapur secara berterusan, walaupun sedikit demi sedikit, akhirnya memberikan tekanan yang besar, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Putra yang menyambut baik keputusan mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, dan peningkatan peruntukan dalam sektor pendidikan berpandangan, setiap langkah yang dapat mengurangkan beban rakyat serta memperkukuh pembangunan pendidikan negara wajar disokong.

“Namun demikian, Putra menegaskan bahawa peningkatan kuota petrol semata-mata masih belum mencukupi untuk menangani tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai oleh rakyat.

Harga makanan, termasuk telur dan pelbagai barangan keperluan dapur, perlu dikawal dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Putra menggesa Kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas dan menyeluruh bagi menangani keseluruhan rantaian kos makanan, bermula daripada pengeluaran, pembekalan dan pengangkutan sehingga ke peringkat pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan Tahun 2026 baru-baru ini mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata kesemua ikhtiar itu merupakan langkah kerajaan menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Nasrul Ali Hasan mengingatkan kerajaan tidak seharusnya sekadar mengumumkan bantuan apabila harga meningkat, sebaliknya perlu menangani punca sebenar yang menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga yang lebih tinggi.

Putra berpendapat bahawa ukuran sebenar kesejahteraan rakyat bukan semata-mata berdasarkan berapa liter petrol yang boleh dibeli pada harga bersubsidi atau berapa banyak bantuan yang diumumkan.

Menurut Nasrul Ali Hasan, ukuran yang paling asas ialah sama ada rakyat masih mampu membeli makanan yang mencukupi dan menyediakan keperluan harian untuk keluarga mereka.

Justeru, Putra menggesa kerajaan supaya menjadikan usaha menurunkan dan menstabilkan harga makanan serta barangan keperluan asas rumah sebagai satu keutamaan segera negara.

“BUDI95 300 liter adalah langkah yang baik, tetapi jangan sampai isu harga makanan rakyat dilupakan. Bantuan yang diberikan perlu berjalan seiring dengan usaha memastikan kos kehidupan rakyat benar-benar dapat dikurangkan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment