BANGI 31 Ogos – “Tolonglah angkat telefon anda, bukan scammer” begitulah rayuan pengacara Cabutan Bonanza Karnival Jelajah Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) Bangi di pekarangan Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi malam tadi.
Rayuan itu susulan beberapa nama pelanggan pakej Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd (Andalusia) yang terpilih tidak menghiraukan panggilan telefon, atau tidak menjawab ketika cabutan melibatkan hadiah utama Perodua MYVI.
Sekurang-kurangnya tujuh nama yang terpilih tidak dapat dihubungi penganjur untuk memenangi hadiah itu yang menyebabkan undian semula dibuat kerana syarat mendapatkan hadiah itu, pemenang mesti tahu namanya telah dipilih.
Hanya pemenang hadiah kedua, Proton Saga MC3, Ashraf Mustaqim Ahmad Zaini yang ketika itu sedang berada di Johor Bahru terus dapat dihubungi sebaik sahaja namanya terpilih tanpa perlu undian semula dilakukan.
Hadiah ‘disampaikan’ oleh Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris.
Manakala hadiah ketiga Perodua Bezza bernilai RM51,900 dimenangi Mohd Faizal Abd Wahid selepas pemilik nama Roslan Nordin tidak dapat dihubungi. Hadiah ‘disampaikan’ oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia Md Daud Che Ngah.
Bagaimanapun ketika cabutan untuk hadiah utama, Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin yang bersedia untuk menyampaikan hadiah itu terpaksa menunggu lama di atas pentas apabila seorang demi seorang pelanggan gagal dihubungi.
Nama yang terpampang di skrin sebagai pemenang iaitu Nur Najmi Fasha Mohammad Nasir, Asmaniza Ismail, Muhammad Asyraf Md Nazir, Ahmad Irfan Azmi dan Ahmad Junaidi Reappai tidak dapat dihubungi.
Akhirnya cabutan ditangguhkan untuk memberi laluan kepada cabutan untuk pengunjung dan satu pengumuman khas.
Selepas pencarian utama disambung semula, nama Abdul Ghani diikuti Suzana Asmida Nawi muncul di skrin sebagai pemenang tetapi kedua-duanya juga gagal dihubungi oleh petugas Andalusia.
Akhirnya sekitar 11.30 malam, Rosli Abdul menjadi ‘penyelamat’ daripada hadiah itu dibawa ke cabutan JIMBA akhir tahun apabila pelanggan Andalusia dari Taiping Perak itu menjawab panggilan ketika dihubungi.
Rosli sebelum ini pernah membeli pakej melancong ke Kanchanaburi Bangkok bernilai RM2,200.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, terima kasih Andalusia yang memilih saya sebagai pemenang hadiah utama semoga Andalusia terus maju dan dapat menjadi satu travel unggul di Malaysia” , kata Rosli selepas dipilih sebagai pemenang.
Kepada yang belum berjaya, mereka masih berpeluang memenangi lima lagi kereta serta pelbagai hadiah lain yang akan diundi pada penghujung tahun ini.
Bagi yang membuat tempahan sepanjang bulan-bulan terakhir ini juga layak menyertai cabutan bertuah itu dengan syarat mereka menempah mana-mana pakej yang bernilai sekurang-kurangnya RM500.
Nnnn
