AYER KEROH 15 Ogos – PKR Wilayah Persekutuan mencadangkan semua ketua cabang Keadilan dinamakan lebih awal sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi membolehkan mereka mula bekerja dan mendapat kepercayaan rakyat.
Ketua Cabang Setiawangsa, Afdlin Shauki, berkata langkah itu juga membolehkan prestasi setiap calon dinilai dalam tempoh setahun sebelum pilihan raya, selain memberi ruang kepada pimpinan parti membuat perubahan sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab.
“Kalau mereka dalam masa setahun lebih ini tidak berfungsi, tukar. Kalau mereka tidak boleh buat (kerja), tukar.
“Tetapi namakan mereka dulu sebagai calon supaya mereka boleh buat kerja, mendapat kepercayaan daripada rakyat dan mungkin mendapat bantuan daripada mereka yang ingin membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Afdlin berkata, cadangan itu antara permintaan dan usul dikemukakan bagi memastikan calon yang dipilih mempunyai masa mencukupi untuk mendekati rakyat serta membuktikan kemampuan mereka sebelum PRU.
Dalam pada itu, beliau meminta pucuk kepemimpinan parti menyediakan penyelaras bagi semua kawasan di Wilayah Persekutuan supaya gerak kerja politik dapat dimulakan secepat mungkin.
Untuk Wilayah Persekutuan, tolong dapatkan penyelaras bagi semua kawasan yang belum ada penyelaras kerana kerja harus dimulakan secepat mungkin.
Nnn
