PUTRAJAYA 29 Julai – Kabinet hari ini bersetuju mengklasifikasi semula dan mendedahkan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Jemaah Menteri telah diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi Laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020.
“Jemaah Menteri bersetuju bahawa laporan ini akan dibuat pengelasan semula (declassified) dan didedahkan pada hari ini. Laporan ini juga akan dibentangkan dan dibahaskan di satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan bersedia untuk mendedahkan laporan akhir RCI berkait TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan berhubung dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum laporan terbabit menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan dan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus dari syor berkenaan.
“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa TH sudah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan bahawa pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik,” katanya.
Tegasnya, Jemaah Menteri turut memutuskan siasatan penuh oleh badan penguatkuasaan berdasarkan laporan berkenaan akan diteruskan serta-merta dan pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang.
Nnnn
