Pemangku menteri Singapura letak jawatan

SINGAPURA 20 Julai – Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam Singapura, Prof. Madya Muhammad Faishal Ibrahim meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini selepas terbabit dalam isu hubungannya dengan seorang wanita.

Beliau turut meletak jawatan pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen (AP) dan sebagai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), parti pemerintah Singapura.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, berkata Muhammad Faishal berbuat demikian selepas isu hubungannya dengan seorang wanita diketahui kira-kira sebulan lalu selepas pejabatnya menerima emel daripada seorang wanita yang membuat aduan berkaitan hubungannya dengan Muhammad Faishal.

“Kebanyakan perhubungan mereka berlaku melalui mesej dalam talian. Mereka juga bertemu ketika menghadiri acara awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata, kedua-dua pihak kemudian saling membuat dakwaan gangguan terhadap satu sama lain sebelum kes itu dirujuk kepada polis untuk siasatan di mana hasil siasatan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak dan tiada tindakan pendakwaan akan diambil.

“Namun terdapat persoalan sama ada tindakan Muhammad Faishal menepati standard yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, selepas mempertimbangkan perkara tersebut, Profesor Madya Faishal menerima bahawa tingkah lakunya tidak memenuhi piawaian itu dan mengemukakan peletakan jawatannya.

Muhammad Faishal menjadi AP sejak 2006 dan dilantik sebagai Menteri Pemangku Hal Ehwal Masyarakat Islam pada 2025.

Dalam surat peletakan jawatan yang disiarkan Pejabat Perdana Menteri, Faishal mengakui berlaku kelemahan dalam pertimbangannya ketika mengendalikan hubungan berkenaan.

“Walaupun tiada hubungan fizikal antara kami dan saya tidak berniat untuk hubungan itu berkembang ke tahap tersebut, terdapat kelemahan dalam pertimbangan saya terhadap cara saya mengendalikan interaksi ini serta kegagalan menetapkan batasan lebih jelas pada peringkat awal,” katanya.

Wong berkata beliau kecewa kerana Muhammad Faishal meninggalkan arena politik dalam keadaan sedemikian.

Susulan peletakan jawatan itu Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad akan dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Sementara itu Muhammad Faishal memohon maaf kepada para penduduk dan penyokongnya selepas meletak jawatan daripada semua jawatan politik.

Menerusi Facebook, Dr Faishal, yang akan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya amat kesal kerana telah mengecewakan para penduduk dan penyokong yang telah memberikan kepercayaan kepadanya.

“Saya tahu berita ini akan mengejutkan ramai. Saya harap anda dapat memahami keputusan saya untuk tidak mengulas lebih lanjut demi menghormati privasi keluarga saya.”, katanya.

Dr Faishal, mengucapkan terima kasih kepada para penduduk atas sokongan mereka selama ini, sambil menyifatkan peluang untuk berkhidmat dan bersama-sama mereka sebagai satu penghormatan.

“Kemesraan, persahabatan dan sokongan anda amat bermakna bagi saya, lebih daripada yang dapat saya ungkapkan,” kata beliau.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment