KUALA LUMPUR 20 Julai – Selesai aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina, awal pagi tadi, Dataran Merdeka dibanjiri sampah sarap selepas ribuan orang berhimpun bagi menyaksikan dan meraikan perlawanan akhir itu.
Dataran Merdeka yang lambang maruah dan sejarah negara ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, meluahkan kekecewaan terhadap sikap sebahagian penyokong yang hadir menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 itu.
Beliau berkata, orang ramai seharusnya menunjukkan rasa sayang terhadap Kuala Lumpur dengan memastikan kawasan awam sentiasa bersih selepas sesuatu program atau acara selesai berlangsung.
“Saya percaya rakyat Kuala Lumpur sayang akan bandar ini. Sebab itu saya kecewa apabila Dataran Merdeka, selepas menjadi tempat kita bersorak dan bergembira bersama, namun ditinggalkan dalam keadaan begini,” katanya.
Ini bukan kali pertama suasana sampah berselerakan berlaku selepas sesuatu acara yang mengundang kehadiran ramai.
Untuk rekod, pada Julai tahun lalu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendakwa hampir 20 metrik tan sampah ditinggalkan selepas Himpunan Turun Anwar di sekitar Kuala Lumpur.
“Biar fakta bicara. Hampir 20 metrik tan sampah ditinggalkan selepas perhimpunan pembangkang PN semalam. Pekerja-pekerja pembersihan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terpaksa bekerja sehingga lewat malam untuk membersihkan kawasan sekitar ibu kota,” katanya.
Pada ketika itu, polis menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka yang kemudinnya menimbulkan persoalan dalam kalangan pimpinan Pas mengenai jumlah sampah.
Sementara itu, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertindak pantas menjalankan kerja pembersihan sebaik sahaja acara berkenaan berakhir.
DBKL menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan untuk mengutip sampah yang ditinggalkan.
Menurut DBKL, orang ramai boleh meraikan sesuatu acara dengan meriah dan bersorak sepuasnya, namun kebebasan untuk bergembira tidak bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama.
DBKL turut menegaskan bahawa sesebuah kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang, sebaliknya melalui keadaan yang ditinggalkan apabila mereka pulang.
Nnnnn
