Pastikan tiada ‘pengkhianat’ selamat

KUALA  LUMPUR 15 Okt. – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi janjinya bahawa PH akan sedaya upaya memenangi kembali kerusi yang disandang ‘pengkhianat’ parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Presiden PKR, menegaskan tidak akan membiarkan satu pun kerusi bekas anggota Parlimen PKR yang ‘survive’ .

“Kita tunggu lama. Kita dapat sekejap kemudian dirampas pengkhianat-pengkhianat. Pastikan kerusi pengkhianat itu tiada satu pun selamat, kita humban mereka habis,” katanya pada Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU15 Wanita PH di sini hari ini.

Anwar juga mahu memastikan calon-calon PH menang dengan bergaya.

Tegasnya, fokus utama gabungan itu adalah untuk memastikan segala perancangan dilaksanakan supaya tidak lagi kedengaran rintihan daripada rakyat yang terasa dipinggirkan.

Sementara itu, Anwar terus berteka-teki dengan kawasan yang akan ditandingi.

Bercakap pada media, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu secara berseloroh mengatakan ‘pening’ memikirkan kerusi yang bakal ditandingi beliau kelak.

Beliau berkata, beberapa kepemimpinan negeri tertentu seperti Negeri Sembilan, Johor dan Perak memintanya untuk bertanding di mana-mana kawasan di negeri berkenaan.

“Itulah ‘seriously’ pening juga… Negeri Sembilan minta, Johor minta, Perak minta.. Pulau Pinang sahaja tidak minta saya balik bertanding,” katanya.

Sebelum ini, Anwar membayangkan untuk memberi laluan kepada calon lain mewakili parti berkenaan untuk bertanding kerusi disandangnya.

Antara nama disebut termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang dikatakan bakal dipertaruhkan PKR bagi mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson.

Dalam satu majlis bulan lalu, Anwar juga pernah memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dan mungkin bertanding kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan PH, namun beliau tidak menamakan kawasan kerusi berkenaan.

Related posts

Leave a Comment