Johor tiang seri UMNO pemangkin kebangkitan

REKOD Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor pada Sabtu lalu menyaksikan UMNO hanya tewas satu daripada 37 kerusi yang ditandingi itu pun dengan majoriti yang diperoleh calon PH dari Amanah dianggap tipis.

Adakah keputusan itu sebagai petanda bahawa Johor kembali sebagai ‘tiang seri’ UMNO seperti masa lalu ditambah pula keupayaan rakan dalam BN iaitu MCA dan MIC merekod kejayaan yang baik termasuk menawan kerusi DAP.

Kejayaan itu juga amat bermakna selepas sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 pada 11 Mei 2026 yang lalu berlangsung di tempat ‘kelahiran’ parti itu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor, Johor Bahru.

Lebih bermakna, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menghadiri sambutan yang berlangsung di Tangga Selat, Istana Besar di sini hari ini. Turut berangkat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Kehadiran Seri Paduka Baginda membawa nilai simbolik yang amat mendalam terhadap hubungan antara sejarah perjuangan, institusi Raja-Raja Melayu dan perjalanan negara.

Jika 11 Mei 2026 pimpinan UMNO ‘kembali’ ke tempat parti itu dilahirkan pada 11 Mei 1946, tarikh 11 Julai 2026 pula, BN diisytiharkan memenangi PRU DN Johor ke-16 dengan menguasai 48 kerusi menerusi UMNO (36), MCA (8) dan MIC (4) meninggalkan PH yang menang lapan kerusi – DAP (6), PKR (1), Amanah (1).

Apabila UMNO @ BN Johor memutuskan untuk bergerak solo, disusuli pula kenyataan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang tidak rela duduk semeja dengan DAP, ia menimbulkan pelbagai persepsi serta kritikan sehingga menjurus kepada membenci kaum Cina.

Hakikatnya BN mempunyai rakan politik MCA yang mewakili masyarakat Cina dan MIC pula mewakili masyarakat India. Maka tidak timbul UMNO tidak boleh bersama dengan orang bukan Melayu.

Pendirian dan keputusan UMNO Johor untuk tidak bersama DAP membuka ruang untuk parti memadamkan persepsi terhadap ‘kerjasama’ dengan DAP yang mendapat jolokan ‘UMDAP’, di samping langkah itu dapat menarik semula ahli atau penyokong parti yang menjauhkan diri kerana DAP untuk kembali mendekati UMNO”

Apatah lagi Rumah Bangsa yang membuka pintu seluasnya kepada sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu.

Justeru kemenangan di Johor satu permulaan yang baik untuk UMNO terus bangkit langkah di Negeri Sembilan diikuti Melaka yang akan menyaksikan gerakan solo parti itu sebelum melngkah lebih jauh menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Momentum ini boleh diteruskan tanpa perasaan angkuh dan sombong dengan apa cara sekali pun sama ada perbuatan atau tutur kata yang boleh menjejaskan sokongan dan kepercayaan yang diberi.

Kembali ke Johor, sesuatu yang menarik dalam keputusan melibatkan beberapa kerusi yang ditandingi UMNO sudah tentunya di DUN Simpang Jeram, Rengit, Bukit Kepong, Endau,  dan Layang-Layang.

Di Simpang Jeram calon BN, Azman Ismail hanya tewas 170 undi dalam saingan empat penjuru apabila penyandang,  Ir Nazri Abdul Rahman (PH-Amanah) mendapat 12,022 undi, berbanding Azman meraih 11,852 undi, sementara Ainie Haziqah Shafii (Muda) mendapat 1,467 undi dan Arshed Yahya @ Awang (PN) dengan 3,962 undi.

Untuk rekod,  Nazri menang DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2023 dengan majoriti 3,514 undi dalam pertandingan tiga penjuru berikutan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub. Waktu itu UMNO menyokong PH.

DUN Rengit pula mencuri tumpuan apabila mantan wakil rakyat di situ Dr Puad Zarkashi  ‘buat hal’ setelah beliau dikatakan ‘merajuk’ keluar UMNO dengan kedudukan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bekas Speaker DUN.

Puad bersama PMX berkempen di pentas PH untuk menentang calon-calon yang diturunkan UMNO. Beliau begitu yakin dengan keupayaan calon PH untuk merampas kerusi UMNO yang diwakilinya sebelum itu.

“Saya mengenali ketiga-tiga calon N.25 Rengit. Tetapi berdasarkan sahsiah dan integriti, saya sokong calon nombor 03, Mohamad Yazid Bakri daripada PH,” katanya yang mendakwa pengundi ‘senyap’ akan memenangkan PH.

Menurut Puad pada malam ‘Grand Finale N25 Rengit’ menyaksikan kebangkitan sokongan di perkampungan Orang Asli serta menyifatkan BN goyang apabila kubu BN di Rengit selama ini ditembusi.

“BN yakin calon mereka akan menang dengan majoriti 10,000 undi di N25 DUN Rengit. Paling tinggi, BN pernah meraih majoriti sebanyak 5,492 pada PRU 2013,” katanya sambil menegaskan jika BN gagal mendapat majoriti 10,000 bermakna UMNO angkuh dan cakap besar.

Andaian Puad meleset. UMNO tidak angkuh atau cakap besar seperti Puad. Keputusan Rengit menyaksikan calon BN Zaidi Japar menang bergaya dengan memperoleh 14,826 undi iaitu majoriti 10,817 undi menewaskan Mohamad Yazid yang mendapat 4,009 dan Syed Mohamad (PN) 1,739 undi.

Untuk rekod pada pilihan raya 2022, Puad menang DUN Rengit dengan majori 1,920 undi, selepas beliau memperoleh 7,903 undi mengalahkan calon PN (5,983 undi); PKR (2,065 undi) dan Pejuang (206 undi).

UMNO turut menyerlah di Bukit Kepong, apabila pemimpin Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2022 dengan majoriti 710 undi.

Bekas Menteri Besar Johor itu yang memperoleh 5,625 undi tewas kepada Ahmad Syar’e Yusof @ Cikgu Syar’e (BN) yang memperoleh 16,386 undi dalam pertandingan tiga penjuru manakala calon PH C Subramani memperoleh 4,667 undi.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Johor itu mendapat 9,873 undi meninggalkan calon BN, Ismail Mohamed (9,163 undi), Muda (3,076) dan Pejuang (191).

Di Endau pula, hasrat PN untuk mempertahankan kerusi itu tidak kesampaian apabila calonnya, Ustaz Hakimi gagal menggugat penyandang kerusi itu Alwiyah Talib, yang sebelum ini mewakil Bersatu.

Menjelang PRU DN, Alwiyah mengumumkan beliau meletak semua jawatannya dalam Bersatu dan kembali kepada UMNO. Beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN itu selama dua penggal berturut-turut sejak 2018.

Pada 11 Julai lalu, Alwiyah memperoleh 9,529 undi berbanding calon PN, Ustaz Hakimi (5,984); Saiful Nizam Samat (PH) 2,552 undi dan Jati Awang (ASLI) 394 undi.

Turut menarik perhatian ialah N27 Layang-Layang apabila menjelang PRU DN, bekas ADUN Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Bersatu, kemudiannya dicalonkan mempertahankan kerusi itu atas tiket PN.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dari 2013 hingga 2018 itu berkata, beliau menerima untuk bertanding semula atas desakan dan permintaan pengundi di kawasan itu yang terdiri daripada hampir 60 peratus pengundi Melayu.

“Maka saya ditanya oleh pengundi-pengundi saya daripada kalangan orang Melayu. Saya bukan rasis, tidak kita tahu situasi ini sekarang dalam keadaan yang seperti ini pengundi sering menanyakan soalan-soalan kenapa tidak ada calon daripada kalangan orang Melayu yang diletakkan oleh parti-parti yang bertanding,” katanya.

BN tidak menurunkan calon Melayu UMNO sebaliknya memberi tanggungjawab itu kepada MCA untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Abd Mutalip pada 2022 dengan majoriti 2,815 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Pada 2022, Dr Maszlee Malik (PKR) memperoleh 4,736 undi, Alagenthiran Krishnan (PN) 1,278;  Abd Mutalip (BN) 7,551 dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang) 164.

Dan baru-baru ini, calon BN menang dengan majoriti lebih besar iaitu 7,912 undi apabila Chua Jian Boon memperoleh 11,579 undi mengalahkan Guna Balakrishnan (PH) 3,667 dan Abd Mutalip (PN) 1,993 undi.

UMNO juga memenangi kerusi yang sebelum ini diwakili Pas di DUN Maharani dengan majoriti 2,143 undi selepas calonnya Ashari memperoleh 10,570 undi dalam saingan empat penjuru.

Ashari memperoleh 10,570 undi, diikuti Taqiuddin Cheman (PH) 8,427; Anuar Hayan (PN-Pas) 5,658 undi dan Amir Jack (Muda) 2,495 undi.

Begitulah antara percaturan BN khususnya UMNO Johor dalam mendepani PRU DN dengan sasaran untuk terus berkuasa di Johor.

UMNO turut memenangi kerusi Buloh Kasap, Pemanis, Tenang, Bukit Pasir, Gambir Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Machap, Mahkota.

Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili , Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Permas, Larkin, , Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment