Anak muda jangan mudah dipengaruhi hasutan

BATU PAHAT 6 Julai – Pengundi muda, antara 18 hingga 25 tahun dikategori sebagai kritikal kerana golongan ini mudah terpengaruh hasutan dan fitnah yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, berkata golongan itu yang berada di luar Johor pulang ke kampung serta mempengaruhi ibu bapa masing-masing yang menyebabkan BN hilang tampuk di Johor.

Lantaran untuk mengelak situasi sama berulang, beliau meminta ibu bapa agar mempengaruhi anak masing-masing supaya tidak lagi mengundi parti yang menjanjikan bulan dan bintang.

Katanya , pada 2018, BN tumbang kerana ramai termasuk golongan ini termakan fitnah, hasutan.

“Jadi saya ada sedikit kegusaran terhadap mereka. Saya bimbang disebabkan media sosial, mereka sekali lagi termakan hasutan sama. Terdapat kira-kira 80 peratus pengundi terdiri daripada golongan ini.

Anak-anak muda ini, kita kena pastikan dulu (pada) 2018, mereka balik dari Kuala Lumpur ke kampung pengaruhi ibu bapa mereka. Tapi kali ini kita nak ibu dan bapa pula kena mempengaruhi mereka.

Saya bimbang peristiwa 2018 berulang,” katanya ketika berucap pada program ‘Kasi On’ Bersama Menteri Besar di Parit Guntong, di sini hari ini.

Turut hadir dua calon BN iaitu Mohd Fared Khalid DUN Semerah dan Datuk Zulkurnain Kamisan (DUN Sri Medan).

Onn Hafiz berkata, BN menerima hasutan yang amat dahsyat sejak mengumumkan untuk bertanding kesemua 56 kerusi DUN.

“Sejak kita beritahu tak nak tubuh kerajaan dengan DAP, sejak itulah mereka menghasut pengundi. Saya menjadi mangsa serangan mereka hingga melabelkan saya dengan pelbagai gelaran.

“Apapun dia orang kata kat kita, di Johor jika cubit paha kiri, paha kanan pun terasa, kita menjiwai apa yang dirasai oleh pemimpin (di Johor). Saya bertanding di Machap, dekat sana kita dijanjikan bulan dan bintang…ada yang janji tol percuma, tapi sampai hari ini kita bayar (tol),” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran video di Facebook hari ini, beliau mendakwa pihak lawan menggunakan strategi hasutan, fitnah serta menawarkan ‘janji bulan dan bintang’ bagi meraih sokongan pengundi, sama seperti PRU 2018 dan 2022.

“Sedar tak sedar, sudah seminggu kita berkempen untuk PRN Johor. Seperti yang kita jangkakan, pihak lawan menggunakan strategi hasutan, fitnah dan janji bulan dan bintang untuk meraih undi daripada Bangsa Johor.

Namun saya percaya dengan sepenuh hati bahawa Bangsa Johor tidak mudah diperdaya kerana kita telah mengalami suasana yang sama pada tahun 2018 dan juga 2022, apabila mereka menggunakan strategi yang sama untuk menghasut dan meraih undi,” katanya.

Onn Hafiz turut mengajak rakyat Johor supaya terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri serta tidak menggadaikan masa depan Johor kerana terpengaruh dengan dakwaan atau janji yang disifatkannya tidak berasas.

“Sama-samalah kita fokus kembali untuk membangunkan negeri Johor yang kita cintai. Banyak yang telah kita capai. Jangan kita gadaikan masa depan Johor dengan fitnah, hasutan dan janji bulan bintang yang mereka taburkan. Sama-samalah kita membina masa depan Johor yang lebih baik,” katanya.

NNNN

Related posts

Leave a Comment