JOHOR BAHRU 3 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) di Johor tidak menawarkan pembaharuan manakala Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein menyifatkan tawaran yang dibentangkan bukan manifesto.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, sebahagian besar tawaran dalam manifesto PH itu sudah dilaksanakan Kerajaan Johor sepanjang penggal pentadbiran lalu.
“Saya sudah meneliti dan mendapati sebahagian manifesto itu telah dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dalam penggal pentadbiran lalu.
“Kita menghormati apa yang mereka cadangkan tetapi Alhamdulillah, sebahagian daripada manifesto itu telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Johor. Tidak ada sesuatu baharu yang boleh menjadi satu game changer,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa TABIKA KEMAS Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan PH melancarkan manifesto ‘Johor Untuk Semua‘, hari ini, sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.
Antara teras utama manifesto itu ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan orang kurang upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.
Ahmad Zahid juga berpendapat perbandingan antara Johor dengan Selangor tidak seharusnya dijadikan bahan kempen kali ini kerana setiap negeri mempunyai latar belakang dan kekuatan ekonomi yang berbeza.
Beliau menegaskan Johor memiliki rekod tersendiri, termasuk dari segi pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI) serta hasil negeri.
“Tidak perlu melakukan perbandingan seperti itu kerana kita tidak boleh membandingkan epal dengan epal. Johor terlalu ke hadapan bukan saja dari segi FDI dan DDI tetapi juga daripada hasil yang diperoleh.
“Semangat untuk bersaing itu baik tetapi insya-Allah, bersainglah secara sihat,” katanya.
Sementara itu Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, tawaran yang dibentangkan oleh PH dalam manifesto mereka itu hanyalah meningkatkan angka program sedia ada dibuat oleh kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Banyak perkara yang dibentangkan dalam manifesto mereka cuma meningkatkan angka program yang sedia ada oleh kerajaan negeri hari ini.
“Daripada berapa puluh ribu rumah ke apa, dia tambah sahaja. Itu bukan manifesto. Manifesto adalah polisi dan dasar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Warga Asli Kahang di Pekan Kahang, hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin turut berkata PH yang menggunakan dasar BN dengan menokok tambah serta memasukkan ia sebagai janji pilihan raya mereka.
Beliau juga tidak pasti sama ada janji yang dikemukakan oleh PH itu akan ditunaikan atau tidak.
“Wallahualam, sama ada ia akan ditunaikan atau tidak. Itu bukan manifesto bagi saya. Tapi saya kena kajilah (manifesto dibentangkan oleh PH) lebih teliti,” katanya.
Nnnnn
