SEREMBAN 3 Julai – Gerakan, parti komponen Perikatan Nasional (PN) menyatakan hasrat untuk bertanding empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.
Presidennya, Dr Dominic Lau, berkata dua daripada kerusi yang dikenalpasti setakat ini adalah DUN Repah dan Temiang, dan ia tertakluk kepada hasil rundingan pembahagian kerusi bersama parti komponen PN.
“Fokus kita ialah DUN Repah dan DUN Temiang. Kita akan bawa cadangan itu dalam proses rundingan kerusi dalam PN yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya selepas mesyuarat parti itu di Wisma Gerakan Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Dominic berkata, sasaran empat kerusi DUN itu diambil selepas mengambil kira keupayaan parti, terutama berkenaan kekuatan jentera pilihan raya.
Tambahan pula, kerusi Repah dan Temiang pun ada parti lain dalam komponen PN yang telah nyatakan hasrat untuk bertanding, tapi keputusan akhir akan ditentukan menerusi hasil rundingan nanti.
Katanya, Gerakan Negeri Sembilan berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik bagi menghadapi PRN, malah pusat operasi dan bilik gerakan di kawasan yang dikenal pasti telah pun disiapkan.
Beliau melahirkan keyakinan parti itu mampu meraih kemenangan kali ini berpandukan momentum pengundi.
“Jika tidak ada keyakinan boleh menang, kita pun tak nak bertanding. Keyakinan kita positif, tetapi, seperti yang saya katakan, sumber daya kita terhad. Jadi kita tak boleh bertanding di banyak kerusi walaupun mempunyai hasrat itu,” katanya.
Dominic turut memaklumkan proses mengenal pasti dan memilih calon sedang dilakukan dan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Pada PRN 2023, Gerakan kalah semua enam kerusi ditandingi iaitu DUN Temiang, Lobak, Rahang, Seremban Jaya, Chuah dan Repah.
