JOHOR BAHRU 3 Julai – Manifesto ‘Johor Untuk Semua’ ditawarkan Pakatan Harapan (PH) kepada 2,727,926 pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.
Antara teras utama tawaran berkenaan ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.
Di samping itu, sebanyak 80,000 unit Rumah Mampu Milik akan dibina dalam tempoh lima tahun dengan sasaran 16,000 unit setahun selain mempergiat projek Rumah Generasi Kedua Felda dengan keutamaan kepada keluarga muda dan pekerja tempatan.
Selain itu, bantuan deposit sebanyak RM8,000 bagi pemilikan rumah pertama melalui skim sewa milik (rent-to-own) juga akan disediakan dengan sasaran 50,000 keluarga muda akan menerima manfaat.
Tawaran itu dibentangkan secara bersama oleh calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik (PKR); calon PH DUN Larkin, Suhaizan Kayat (Amanah) dan calon PH Stulang, Andrew Chen (DAP).
Pelancaran manifesto pula disempurnakan Ahli Majlis Presiden PH, Amirudin Shari yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR di sini, hari ini.
PH juga menawarkan peruntukan dana berjumlah RM500 juta bagi memperkasakan pembangunan generasi muda di negeri ini sebagai sebahagian daripada tawaran utama dalam manifesto ‘Johor Untuk Semua’.
PH juga menyasarkan untuk memberikan manfaat kepada sekurang-kurangnya 50,000 keluarga muda di seluruh negeri menerusi pelbagai program sokongan dan pembangunan ekonomi menerusi Dana Anak Muda Johor
Dana terbesar untuk pembangunan generasi muda Johor itu merangkumi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Premium Johor, Dana Usahawan Muda, latihan Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan digital serta tuisyen percuma bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40.
Dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan, sasaran ditetapkan agar 100 peratus sekolah di Johor mendapat akses Internet gigabit, makmal AI serta robotik di semua daerah menjelang 2030, dengan penglibatan 50,000 pelajar setiap tahun.
Selain itu, perpustakaan digital dan pusat pembelajaran moden juga akan diwujudkan di setiap daerah menerusi kerjasama strategik antara sekolah, TVET, institut pengajian tinggi (IPT) dan industri.
Bagi menyokong ekosistem perniagaan tempatan, dana sebanyak RM1 bilion disediakan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan Johor bagi mendigitalkan 20,000 perniagaan serta mewujudkan 10,000 usahawan baharu dalam pasaran ASEAN.
PH turut menggariskan komitmen untuk memperkasakan Johor sebagai pengeluar utama agromakanan negara melalui pemodenan rantaian nilai dan transformasi industri hiliran.
Tawaran itu antara lain memberikan tumpuan kepada pemerkasaan potensi komoditi bernilai tinggi tempatan, khususnya bagi industri durian dan nanas, selain bertekad mengekalkan serta menambah kawasan pertanian kekal dan meningkatkan pengeluaran makanan di Johor.
PH juga bertekad untuk memacu Johor sebagai pusat industri bernilai tinggi dengan memastikan pembangunan menyeluruh merentasi setiap daerah sebagai enjin penggerak ekonomi Johor.
Antara industri yang diberi penekanan termasuklah pembuatan perabot, ekosistem ekonomi kreatif, industri berteknologi tinggi serta sektor minyak dan gas, sektor pelancongan serta pertanian moden, perikanan dan penghasilan makanan.
Menerusi manifestonya, PH turut menawarkan komitmen untuk mengurangkan masa menunggu bagi urusan rentas sempadan Malaysia–Singapura sebanyak 50 peratus menerusi Agenda Johor–Singapura.
Matlamat itu akan dicapai menerusi integrasi menyeluruh sistem pengangkutan negeri yang menggabungkan rangkaian Sistem Transit Aliran Ringan (RTS), Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta inisiatif Bas.My.
Selain itu, PH turut menggariskan komitmennya untuk memperkukuh Johor sebagai pengeluar agromakanan utama negara melalui pemodenan rantaian nilai dan transformasi industri hiliran.
Cadangan itu antara lain memberi tumpuan kepada peningkatan potensi komoditi tempatan bernilai tinggi, khususnya industri durian dan nanas, di samping komited untuk memelihara serta memperluaskan kawasan pertanian kekal dan meningkatkan pengeluaran makanan di Johor.
PH juga berikrar untuk memacu Johor sebagai hab industri bernilai tinggi dengan memastikan pembangunan yang menyeluruh di semua daerah sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Manifesto ‘Johor Untuk Semua’ itu turut mencadangkan penyediaan laluan khas bagi pekerja rentas sempadan, pelaksanaan Sistem Mobiliti Pintar Johor selain meningkatkan ketersambungan, rangkaian bas perantara ke RTS dari Skudai, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang.
Dalam tawaran itu, PH turut menyasarkan pewujudan 250,000 peluang pekerjaan baharu yang bergaji tinggi dan bermaruah di Johor melalui pemerkasaan pelbagai sektor ekonomi moden dan industri bernilai tinggi.
Bagi memastikan peningkatan taraf hidup rakyat, PH bertekad menyediakan 50,000 peluang pekerjaan setiap tahun, selain berusaha meningkatkan kadar gaji median di Johor sekurang-kurangnya 30 peratus.
Program Balik Johor juga diperkenalkan untuk membawa pulang 20,000 profesional Johor dari Singapura dan luar negara menjelang 2031 dengan menawarkan insentif pekerjaan serta keusahawanan.
Nnnn
