SEPANG 26 Jun – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) mengulangi gesaan supaya Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh isu pelarian Rohingya yang didakwa semakin kompleks serta berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
Presidennya, Mohd Yussof Latiff, berkata penubuhan RCI adalah langkah paling wajar bagi merungkai pelbagai persoalan berhubung pengurusan pelarian Rohingya, termasuk dakwaan berhubung penyelewengan bantuan, sindiket yang mengambil kesempatan serta kelemahan dalam aspek penguatkuasaan.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, isu tersebut tidak boleh lagi dipandang ringan memandangkan jumlah pelarian yang semakin meningkat turut menimbulkan pelbagai implikasi terhadap aspek keselamatan, sosial dan ekonomi negara.
Katanya, etnik Rohingya boleh dijejaki di pelbagai tempat dan pertambahan itu turut mendorong peningkatan jumlah penempatan dan kegiatan jenayah.
Beliau berkata, pada dasarnya pihak UNHCR mengeluarkan kad-kad pelarian kepada pelarian Rohingya dan setiap kad itu diberi bantuan kewangan antara USD300 hingga USD400 seorang.
“Adakah pelarian ini benar-benar mendapat bantuan daripada UNHCR kerana kajian mendapati golongan pelarian ini tidak memperoleh bantuan itu. Jadi ke mana perginya bantuan kewangan itu? Ini menunjukkan seperti ada satu kartel atau sindiket yang menguasai dan mengambil bantuan kewangan itu.
Kerajaan semacam lepas tangan atau tidak serius dengan masalah pelarian Rohingya ini. Adakah pihak berkuasa melindungi kartel ini yang mungkin mengambil wang yang sepatutnya diberi kepada pelarian Rohingya,” katanya.
Justeru PEMENANG sekali lagi mencadangkan supaya RCI ditubuhkan segera untuk menyiasat masalah ini secara menyeluruh demi menyelamatkan Malaysia.
Mohd Yussof turut menegaskan sebarang kelemahan dalam pengurusan isu tersebut perlu dikenal pasti dan diperbetulkan segera agar kepentingan serta keselamatan negara terus terpelihara.
Beliau berpandangan tindakan tegas dan menyeluruh perlu diambil bagi memastikan isu pelarian Rohingya ditangani secara lebih berkesan, telus dan bertanggungjawab, sekali gus mengelakkan ia terus menjadi beban kepada negara pada masa hadapan.
NNNN
