Sulaiman letak jawatan KM Melaka

BENTONG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sekali gus menjawab spekulasi pertukaran tampuk kepemimpinan Kerajaan Negeri Melaka .

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau sudah bertemu Sulaiman semalam dan menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bagi memilih calon Ketua Menteri sesuai.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya sudah pun menerima surat peletakan jawatan daripada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka.

“Saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka untuk mempersembah nama calon bersesuaian bagi pelantikan Ketua Menteri yang baharu,” katanya dalam sidang media pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Masjid Al-Falah Kampung Lebu di sini hari ini.

Spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka yang Ke-13 itu bertiup kencang sejak semalam menyaksikan bakal berlaku perubahan tampuk Kepimpinan Negeri Melaka.

Berdasarkan spekulasi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Tun Mohd. Ali. menentukan masa sesuai untuk menerima watikah dan majlis angkat sumpah.

Berhubung calon disenarai pendek, beliau berkata perkara itu hanya akan dipersembah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka.

Related posts

Leave a Comment