Tiada masalah Amanah calon Sharon Teo

KUALA LUMPUR 24 Jun – Amanah mempertahankan pencalonan Sharon Teo sebagai calon  Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor bulan depan.

Presidennya,  Mohamad Sabu berkata tidak timbul masalah bagi parti itu meletakkan calon bukan Melayu di kerusi DUN Permas.

Beliau berkata pemilihan calon sudah diputuskan dan tidak timbul masalah berhubung keputusan itu yang menyaksikan Sharon Teo diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Amanah di kerusi itu.

“Tiada masalah (letak calon), kita selesai semua. Insya-Allah,” katanya kepada media selepas majlis pelepasan rasmi kontena eksport nanas segar MD2 ke New Zealand di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pendirian Amanah Pasir Gudang yang memboikot calon berkenaan.

Terdahulu, Amanah Pasir Gudang mengancam akan memboikot Sharon, pada PRU DN ke-16 yang disifatkan sebagai calon ‘payung terjun’ dan mahu Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah bertanding di kawasan berkenaan.

Penolong Setiausaha Amanah Kawasan Pasir Gudang, Haini Harun, berkata keputusan memboikot calon berkenaan dibuat bersama kepemimpinan kawasan.

“Keputusan menamakan calon luar sudah kami dengar sejak Mei lalu dan surat bantahan sudah serahkan kepada kepemimpinan negeri dan Pusat, namun tidak maklum balas yang kami terima.

“Bagaimanapun, kepemimpinan parti tetap memilih calon payung terjun ini yang bukan sahaja tidak dikenali oleh jentera Amanah di kawasan ini, malah juga pengundi di sini,” katanya pada sidang media di Taman Cendana, Pasir Gudang.

Haini berkata, ini bukan kali pertama Syed Othman diketepikan sebagai calon di kawasan sama selepas PRN ke-14 apabila memberi laluan kepada calon Bersatu.

Katanya, keputusan kepemimpinan Pusat meletakkan calon wanita Cina di kawasan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan peluang Amanah untuk menang.

Menurut beliau lagi, jumlah pengundi Melayu di situ adalah sebanyak 56 peratus.

Selain itu sentimen negatif pengundi Melayu terhadap parti DAP juga masih kuat dan dibimbangi akan dikaitkan dengan calon berkenaan meskipun bertanding untuk Amanah.

Justeru itu, jentera Kawasan Pasir Gudang tidak akan membantu calon ini tetapi tidak menghalang jentera calon itu berkempen untuk membantu Sharon yang pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha Amanah Johor dan Ketua Wanita Muda Amanah (WARDA) Johor itu .

Nnnn

Related posts

Leave a Comment