Negeri Sembilan juga saksikan BN solo

KUALA LUMPUR 9 Jun – Selepas solo di Johor, Barisan Nasional (BN) juga akan bertanding solo dalam pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan demikian berkata, BN tidak ada pilihan selain bertanding solo.

” Ya, di Negeri Sembilan pasti (BN) bergerak solo kerana Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan mereka (akan) bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ertinya, kita tidak ada pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 di sini, hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, baru-baru ini berkata parti itu akan bersama Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 36 kerusi DUN di negeri itu.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan 4 Jun lalu selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang berbuat demikian pada awal bulan ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sehingga penggal pentadbiran tamat.

“Kita masih bekerjasama dengan rapat sebagai pasukan dan saya rasa kita harus teruskan (kerjasama) sekurang-kurangnya sehingga penghujung penggal,” katanya.

Beliau juga menolak kemungkinan yang Muafakat Nasional (MN) akan dihidupkan semula selepas MN didaftarkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula MN sama ada (MN) 1.0 ataupun 2.0. Itu telah muktamad dan kita telah tutup buku,” katanya.

Related posts

Leave a Comment