SEPANG 31 Mei – Kenyataan DAP Johor yang mendedahkan parti itu merancang memindahkan Marina Ibrahim ke kawasan pilihan raya lain secara tidak langsung menjawab persoalan kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu mengumumkan persaraan daripada politik.
Walaupun Marina tidak menyatakan sebab pengunduran itu, penjelasan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching menjawab persoalan itu apabila kepemimpinan parti berpandangan bahawa Marina merupakan calon paling berpotensi untuk menggalas misi strategik DAP melangkah keluar daripada kawasan tradisi parti.
Kebetulan tular surat yang didakwa daripada Marina kepada DAP Johor yang menyatakan beliau menolak tawaran bertanding di DUN Tiram serta tawaran menjawat jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekiranya tewas di kawasan baharu itu yang merupakan kubu UMNO.
Nie Ching dalam kenyataannya berkata, pencalonan Marina di Skudai dirancang untuk satu penggal bagi membolehkan beliau membina rekod dan reputasi sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa sebelum membantu parti memperluaskan khidmat bakti ke kawasan-kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi.
Katanya, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, rundingan pembahagian kerusi yang masih berjalan menunjukkan, ada kemungkinan yang besar bahawa DAP kali ini dapat bertanding di satu kerusi bandar yang pernah dimenangi oleh PH pada 2018.
“Pada asasnya, kepemimpinan parti berpandangan bahawa Marina merupakan calon paling berpotensi yang mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP melangkah keluar daripada kawasan tradisi parti,” katanya tanpa menamakan kerusi berkenaan.
Beliau memberitahu perkara itu telah dijelaskan secara terperinci kepada Marina dalam satu perbincangan.
Katanya bagi memberikan keyakinan bahawa parti akan terus bersama beliau tanpa mengira keputusan PRN, Nie Ching turut berkongsi hasrat untuk mencadangkan Marina sebagai Pengerusi sebuah badan berkanun, yang mampu menjadi medan untuk terus menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat dan negara.
“DAP Johor amat menghargai pemimpin yang sanggup mengambil langkah taktikal yang berani demi kepentingan parti, dan kami akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk bersama mereka menempuh cabaran, khususnya apabila berdepan situasi yang penuh ketidakpastian
Sebagai seorang rakan seperjuangan dan juga Pengerusi DAP Johor, saya berasa amat berat hati apabila Marina memilih untuk meninggalkan arena politik pada ketika ini.
“Sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi pilihan raya negeri Johor telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekalipun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka,” kata Nie Ching.
Dalam pada itu, Nie Ching bagi pihak DAP Johor, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Marina atas segala jasa, khidmat bakti dan komitmen beliau kepada parti serta rakyat selama ini.
“Kami mendoakan yang terbaik buat beliau dalam apa jua bidang yang bakal diceburi selepas ini. Walaupun beliau memilih untuk berundur dari arena politik, saya yakin akan ada banyak lagi ruang dan peluang pada masa hadapan untuk kita bekerjasama demi kebaikan masyarakat dan negara,” katanya.
Nnnnnn
