BRUSSELS – Dua puluh sembilan anggota Parlimen Eropah (MEP) menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan hak asasi manusia terhadap Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir dan pihak lain yang bertanggungjawab terhadap penderaan aktivis flotila Gaza.
Anggota MEP dari Itali, Danilo Della Valle berkata, mereka menghantar surat kepada Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa bagi menggesa pengaktifan rejim sekatan hak asasi manusia global EU.
Dalam kenyataan yang dikongsi di platform X, Della Valle berkata, aktivis pertama daripada flotila yang pulang ke tanah air melaporkan insiden amat serius termasuk dipamerkan kepada umum dalam keadaan bergari dan berantai, keganasan fizikal serta psikologi, layanan menghina dan pencabulan maruah manusia.
Beliau berkata, EU sudah mempunyai mekanisme untuk mengenakan sekatan bersasar terhadap individu dan entiti yang dituduh melakukan pencabulan serius hak asasi manusia.
“Mekanisme itu baru-baru ini digunakan terhadap apa yang dipanggil pendatang ganas dan kini perlu diperluaskan kepada sesiapa sahaja yang memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam penderaan ini.
“Golongan fasis yang mentadbir Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah mereka di muka pengadilan,” menurut anggota Kongres itu.
Gesaan berkenaan dibuat selepas video yang dimuat naik Ben-Gvir menunjukkan aktivis diikat menggunakan pengikat kabel dan dipaksa melutut selepas ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Nnnn
