WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mengulangi hasrat Washington untuk mengambil alih simpanan uranium diperkaya tinggi milik Iran bagi program nuklearnya.
Bercakap kepada media di White House, Trump berkata, langkah itu penting bagi memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.
“Kami akan pastikan mereka tidak mempunyai senjata nuklear atau kami terpaksa mengambil tindakan yang sangat drastik. Saya percaya rakyat Amerika akan bersetuju kita tidak boleh membenarkan Iran memiliki senjata nuklear,” katanya.
Ditanya sama ada Iran boleh mengekalkan simpanan uranium diperkaya tinggi, Trump menjawab dengan tegas bahawa Amerika Syarikat tidak akan membenarkannya.
“Tidak, kami akan ambilnya. Kami tidak memerlukannya, kami tidak mahukannya, dan kemungkinan besar kami akan memusnahkannya selepas itu. Tetapi kami tidak akan benarkan mereka memilikinya,” katanya.
Terdahulu, laporan media menyebut Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, mengarahkan agar simpanan uranium diperkaya negara itu, yang hampir mencapai tahap digunakan untuk senjata, tidak dihantar ke luar negara.
Arahan itu dilihat sebagai pendirian tegas Tehran terhadap antara tuntutan utama AS dalam rundingan damai yang sedang berlangsung.
Menurut salah seorang sumber, terdapat kesepakatan dalam kalangan kepimpinan Iran bahawa simpanan uranium tersebut perlu kekal dalam negara.
Pegawai kanan Iran percaya, penghantaran bahan tersebut ke luar negara akan mendedahkan Iran kepada risiko serangan pada masa depan oleh AS dan Israel.
Sebelum tercetusnya konflik, Iran dilaporkan bersedia menghantar keluar separuh daripada simpanan uranium yang diperkaya sehingga 60 peratu namun
pendirian itu berubah susulan ancaman berulang daripada Trump untuk menyerang Iran.
Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Iran memiliki kira-kira 440.9 kilogram uranium diperkaya sehingga 60 peratus ketika kemudahan nuklearnya diserang pada Jun 2025, namun jumlah sebenar yang masih ada tidak dapat dipastikan.
Ketua IAEA, Rafael Grossi sebelum ini memaklumkan, sebahagian besar simpanan tersebut dipercayai disimpan di kompleks terowong di Isfahan, manakala sebahagiannya lagi berada di fasiliti nuklear Natanz.
Nnnn
