SEPANG 16 Mei – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan penyandangnya, Hamzah Zainudin.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan dipengerusikan sendiri oleh Ahmad Samsuri dan dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi daripada parti-parti anggota.
“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Ahmad Samsuri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang.
“PN juga bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan gabungan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebelum ini dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Februari lalu.
Ahmad Samsuri adalah Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kemaman.
Dalam mesyuarat sama, PN turut memutuskan pelantikan Pengerusi PN bagi setiap negeri iaitu Shahidan Kassim bagi Perlis, Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah) dan Dr Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang),
Ahmad Faizal Azumu (Perak), Mohamed Azmin Ali (Selangor), Dr Sahruddin Jamal (Johor), Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Dr Alias Razak (Terengganu) dan Ahmad Yakob (Kelantan).
Menurutnya, mesyuarat tersebut memutuskan Dr Mohd Radzi Jidin memegang jawatan Pengerusi PN bagi Melaka dan Wilayah Persekutuan, manakala jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan pula ditangguhkan buat sementara waktu.
“Bagi Sabah, PN melantik Dr Aliakbar Gulasan, manakala Sarawak diterajui Jaziri Alkaf Abdillah Suffian,” katanya.
Menurut Takiyuddin, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.
“PN akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan,” katanya.
