Usul pengampunan Najib paling banyak diterima

KUALA LUMPUR  23 Ogos –  Usul menuntut keadilan dan pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, paling banyak diterima daripada bahagian-bahagian seluruh negara selepas semua 17,998 cawangan selesai bersidang.

Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, sebanyak 72 daripada usul pada Perhimpunan Agung UMNO adalah berkisarkan menuntut keadilan dan pengampunan penuh Najib.

“Usul diterima daripada 171 bahagian dan usul tertinggi diperoleh daripada 72 bahagian ialah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh Datuk Seri Najib Razak.

“Sesungguhnya, selagi bossku terperangkap di sebalik tirai besi suara ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti, malah berikan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi.

Justeru, saya memohon untuk kita terus berdoa kerana doa inilah senjata kita. Semoga Allah melembutkan hati dan membukakan jalan agar pembebasan Datuk Seri Najib ini berlaku akhirnya, mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikatnya kuasa bukan di tangan kita tetapi iman kita meyakini Allah adalah pemilik hati manusia, Insya-Allah,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan dalam kes ini adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang bersifat mutlak.

Pada Perhimpunan Puteri UMNO semalam, Ketuanya,  Nurul Amal Mohd Fauzi, ketika menggulung perbahasan turut menyatakan sokongan untuk terus bersama Nooryana Najwa Najib yang juga anak Perdana Menteri keenam itu, dalam memperjuangkan nasib bapanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ahli UMNO bertambah sejumlah 46,055 orang, berdasarkan rekod terkini pada 31 Julai.

Jelasnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan ahli UMNO ketika ini adalah seramai 3,447,445 orang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment