Pecat ADUN Kok Lanas, gantung MP Mersing

SEPANG 11 Mei – Bersatu terus melakukan ‘pembersihan’ dalam kalangan wakil rakyatnya apabila memecat Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkuat kuasa hari ini.

Pada masa yang sama, Lembaga Disiplin parti juga menggantung keahlian parti Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.

Dalam satu notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Mohd Radzi Manan, memaklumkan pemecatan Mohamed Farid dibuat selepas beliau didapati melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Lembaga Disiplin bersidang dan memutuskan YB Datuk dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” menurut notis dikeluarkan itu.

Bagaimanapun, Mohamed Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini.

Sementara itu, dalam notis berasingan dikeluarkan Mohd Radzi, ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar, digantung keahlian partinya selama dua penggal pemilihan.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis berasingan turut memaklumkan, menggantung keahlian Muhammad Islahuddin manakala Exco Armada Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin pula dipecat.

Minggu lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut bertindak memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Lima Ahli Parlimen pula digantung iaitu  Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin),  Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain turut digantung.

Mengikut rekod, setakat ini daripada 31 Ahli Parlimen Bersatu itu, 13 telah dipecat, sembilan digantung untuk pemilihan dua penggal, dan tiga lagi diberi amaran.

Related posts

Leave a Comment