ANKARA: Sekurang-kurangnya 21,051 orang meninggal dunia akibat gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye dan Syria , demikian menurut kenyataan pihak berkuasa kedua-dua negara.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye dalam kenyataan berkata, angka kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 17,674 dengan 72,879 yang lain dilaporkan cedera setakat Khamis.
Sementara kumpulan pertahanan awam White Helmets dan media kerajaan Syria melaporkan jumlah kematian di negara itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,377 orang.
Ia termasuk 2,030 mangsa di kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah barat laut, dan 1,347 kematian di bahagian yang dikawal kerajaan di Syria.
Jumlah mangsa yang cedera di Syria merentasi semua wilayah yang terjejas meningkat kepada 5,245, dengan 2,295 dalam kawalan kerajaan serta 2,950 di kawasan yang dikuasai pemberontak.
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 78,124 orang cedera di Syria dan Turki.
