KUALA LUMPUR 8 Mei – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung tujuh wakil rakyat termasuk lima Ahli Parlimen selama dua penggal pemilihan parti.
Berdasarkan notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis kedua-duanya dari Kedah dipecat daripada parti itu.
Mereka dipecat daripada parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Lima Ahli Parlimen yang digantung keahlian adalah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Khalib Abdullah (Rompin), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Dua lagi digantung ialah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain yang juga Ketua ARMADA Bahagian Padang Rengas, dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.
Berikutan penggantungan itu, semua jawatan yang dipegang mereka dalam parti dilucutkan selain tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh hukuman.
Bagaimanapun, mereka diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Armada Nasional Bersatu, Muhammad Faiz Rahmad yang juga Ketua Bahagian Hulu Langat dilaporkan dipecat daripada parti berkuat kuasa serta merta.
Terdahulu Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang ketika itu sebagai Timbalan Presiden turut dipecat.
Turut dipecat sebelum ini Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Dua ADUN yang dipecat pula ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Nnnn
