KAJANG 2 Ogos – Tindakan tidak meletakkan calon MIC untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan diputuskan sendiri kepemimpinan parti itu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang menghormati keputusan itu berkata, dalam ucapan pemimpin MIC ketika perjumpaan bersama Anwar Ibrahim hari ini, mereka merasakan parti itu sepatutnya mendapat lebih banyak kerusi pada PRN dan mereka adalah calon boleh menang di Negeri Sembilan.
“Bagaimanapun, MIC membuat keputusan sebaliknya apabila tidak mahu meletakkan calon bertanding di negeri itu.
“Jadi, keputusan itu adalah keputusan kepimpinan parti berkenaan. Maka, saya selaku Pengerusi BN tentulah menghormati keputusan terbabit dan saya menyantuni bukan sahaja timbalan presiden, malah juga beberapa pemimpin lain,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai di sini, hari ini.
Ahmad Zahid mengakui barisan kepemimpinan MIC dilihat ikhlas menyokong calon yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan untuk bertanding pada PRN di enam negeri dan ia turut dizahirkan melalui ucapan pemimpin parti itu dalam perjumpaan khas kepemimpinan MIC hari ini.
“Saya dapati ucapan tadi beliau menyokong sepenuhnya bukan sahaja calon-calon BN, tetapi juga calon daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu melalui Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, pada perjumpaan bersama Perdana Menteri itu, MIC menyatakan pelbagai pandangan dan hasrat bagi menjayakan agenda Kerajaan Perpaduan dan menunjukkan komitmen untuk membantu memenangkan calon-calon BN-PH pada PRN kali ini.
“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya percaya pertemuan hari ini menunjukkan kebersamaan dan solidariti di antara parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan dan juga Barisan Nasional.
Walaupun ada pihak-pihak yang cuba menggambarkan hubungan di antara UMNO dan MIC yang katanya semakin renggang, ia lebih kepada tindakan terdesak dan muflis modal politik pihak tertentu apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung,” katanya.
Beliau berkata keberadaan bersama kepimpinan MIC hari ini juga, menunjukkan hubungan masih teguh dan jelas menterjemahkan perpaduan yang terus utuh dipertahankan sejak tahun 1973 lagi.
“Kesetiaan parti-parti di dalam Barisan Nasional ini menjadi asas kepada banyak kejayaan yang telah diperoleh oleh negara ini dan saya sentiasa harapkan kesinambungan persahabatan dari peringkat kepimpinan sehingga akar umbi kekal dipertahankan selamanya,” katanya.
