SEPANG 4 Mei – Penerbangan KT051 (MH8110) yang membawa 278 jemaah haji Malaysia, terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada pukul 4.11 petang ini waktu tempatan, sebagai langkah berjaga-jaga.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan malam ini mengesahkan penerbangan itu, terpaksa mendarat di Muscat, susulan pesawat itu mengalami isu teknikal.
“Semua 278 Jemaah haji berada dalam keadaan selamat dan pihak keluarga tidak perlu risau,” menurut kenyataan itu tanpa memperincikan dengan lebih lanjut.
Terdahulu, KT051 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2.06 petang waktu Malaysia dan mengikut jadual, pesawat terbabit dijangka tiba di Jeddah, Arab Saudi sekitar 5.50 petang waktu tempatan.
Berikutan itu, TH memaklumkan pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan selanjutnya.
“Sekiranya perlu, semua jemaah akan menginap di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan.itu.
