14 ADUN BN N9 tarik sokongan terhadap MB

SEREMBAN 27 April – Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional (BN) menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri serta mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri secara keseluruhan.

“Krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam terhadap kestabilan serta kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang media khas di Wisma UMNO pagi ini.

Beliau berkata, makluman rasmi berhubung pendirian itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri sejurus selepas sidang media berkenaan.

Perkembangan ini dijangka menjejaskan kedudukan kerajaan negeri ketika ini, dan berkemungkinan berlaku perubahan pentadbiran sekiranya sokongan majoriti tidak lagi memihak kepada Menteri Besar.

Menurut Jalaluddin, kepemimpinan negeri sewajarnya bertindak dengan bijaksana dalam mendepani situasi semasa bagi memastikan keyakinan rakyat tidak terus terhakis.

“Sehubungan itu, kesemua 14 Adun UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau,” katanya.

Jalaluddin menegaskan, pihaknya kekal komited mempertahankan institusi adat, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sebagai asas pentadbiran.

Menurutnya, keutamaan adalah memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negeri serta memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi.

“Kita mahukan kerajaan yang stabil supaya pentadbiran negeri dapat berjalan dengan berkesan dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment