SEREMBAN 27 April – Sebuah jawatankuasa khas pendamai perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan yang sedang berlaku, kata Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Jalaluddin Alias.
Katanya, jawatankuasa itu perlu dianggotai individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) dan tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi mencari penyelesaian.
Sambil menegaskan pendirian UMNO untuk mempertahankan institusi adat dan UUTKNS, beliau berkata, krisis adat yang berlaku ketika ini dilihat berada pada tahap serius dan perlu diselesaikan segera.
“Ia demi kebaikan semua pihak dan kita tidak mahu masyarakat membuat tafsiran sendiri terhadap apa yang berlaku kerana ketiadaan penjelasan daripada pihak sepatutnya.
“Saya sendiri berasa serba salah untuk memberi pandangan, namun sebagai EXCO Kanan dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Krisis adat di Negeri Sembilan menarik perhatian susulan tindakan undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak pula didakwa sudah dipecat.
Berikutan krisis itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.
Terdahulu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Rais Yatim berpendapat Menteri Besar, Aminuddin Harun perlu segera mengambil inisiatif memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bagi meredakan dan menyelesaikan krisis berkenaan.
Nnnn
