NEW YORK – Iran mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa mempunyai “ciri-ciri lanun” selepas tentera AS menyerang sebuah kapal komersial Iran berhampiran pesisir pantai Iran di Laut Oman pada 19 April lalu.
Menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, serta presiden Majlis Keselamatan PBB, misi tetap Iran ke PBB berkata, serangan itu menyalahi undang‑undang.
Iran menyifatkan serangan ke atas kapal komersial, Touska itu sebagai pelanggaran serius dan nyata terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa, lebih memburukkan keadaan apabila kru diancam serta dikenakan tekanan psikologi
“Tindakan sedemikian jelas mempunyai ciri-ciri lanun dan merupakan satu peningkatan berbahaya yang secara serius mengancam keselamatan laluan perkapalan penting,” katanya.
Kenyataan keras Tehran itu dibuat ketika ketegangan berterusan antara Iran dan AS berhubung keselamatan maritim, khususnya di perairan strategik yang menjadi laluan utama perdagangan dan bekalan tenaga global.
