MELAKA 17 April – Kejayaan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka harus dipertahankan, dengan menggunakan ‘feel-good factor’ untuk terus meraih sokongan rakyat, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi,
Presiden UMNO itu berkata, setakat ini prestasi diperlihatkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh cukup baik dan banyak perubahan serta kejayaan yang digapai sepanjang tempoh tiga tahun ini.
“Banyak perubahan dilakukan, perubahan dan kejayaan ini harus dipertahankan.
Ia mesti dijadikan sebagai ‘feel-good factor’ bagi terus mengambil dokongan kepada calon-calon yang akan kita wakilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan-cawangan UMNO Negeri Melaka hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha berterusan perlu dilakukan bagi mendekati dan menyantuni semua kaum tanpa mengira latar belakang.
“Kita mesti berusaha keras bagi menggamit dan menyantuni semua pihak,” katanya yang menegaskan, daripada keseluruhan pengundi di negeri ini, kira-kira 63 peratus adalah pengundi Melayu, manakala selebihnya terdiri bukan Melayu.
Malah kira-kira 17 peratus pengundi di Melaka terdiri ahli UMNO, manakala selebihnya pengundi bukan ahli parti itu atau ahli komponen Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Dr Ahmad Zahid masih berteka-teki sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo atau sebaliknya dalam menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.
Katanya, sebarang keputusan akan diumumkan pada masa sesuai, selain menegaskan akan meneliti keperluan bagi mengelakkan pertindihan kerusi.
“Saya telah nyatakan dan kita akan umumkan. Kita ke arah itu (bergerak solo) tetapi kita akan meneliti supaya tidak ada pertindihan kerusi berlaku,” katanya.
Nnn
