Hina Melayu, Islam, tiga kertas siasatan dibuka

JOHOR BAHRU 22 Dta. – Tiga kertas siasatan berasingan dibuka susulan laporan polis  berhubung penularan gambar resit pesanan makanan segera yang tertera perkataan menghina kaum Melayu dan Islam yang dikesan di Kluang, Batu Pahat dan Muar.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau berkata, pesanan pada resit bertarikh 19 dan 20 Disember itu dipercayai membabitkan individu sama walaupun berlaku di tiga daerah berbeza di negeri ini.

“Laporan polis mengenai penularan itu telah diterima. Kes masih di peringkat siasatan dan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.

Kumar berkata, polis Johor memandang serius serta memberi amaran sekerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen agama dan menyentuh sensitiviti kaum terutama di platform media sosial.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil mengikut peruntukkan undang-undang terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial paparan resit pesanan di sebuah restoran makanan segera di Kluang yang dimuat naik dan dikongsi pengguna.

Nn

Related posts

Leave a Comment